Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii berkata, objektif tabung tersebut telah tercapai setelah jumlah yang diperlukan bagi membayar baki wang jaminan bekas Perdana Menteri itu pada hari ini mencukupi.

“Alhamdulillah, sumbangan untuk membayar sebahagian lagi ansuran wang ikat jamin Datuk Seri Najib telah mencukupi termasuk selepas ditambah sumbangan ahli Wanita UMNO yang telah berjaya mengutip lebih RM200 ribu semalam.

“Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang, tabung ini telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menunjukkan komitmen mereka bersolidariti bersama Datuk Seri Najib. Malah tabung ini juga mendapat sumbangan dan bantuan dari pihak di Indonesia, Kanada dan Singapura, “ katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najin diwujudkan selepas menyedari Najib membuat rayuan mencagar rumahnya bagi membayar wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE