Anugerah Kecemerlangan Pelajaran Anak-Anak Anggota Tabung Haji 2019 itu diberikan kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) , Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi.

Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf Tabung Haji, Hizamuddin Jamalluddin yang menyampaikan anugerah itu berkata, majlis penghargaan itu adalah lambang pengorbanan setiap warga kerja Tabung Haji.

“Anugerah ini merupakan satu galakan atau insentif kepada mereka semua yang telah bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran serta membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan.

“Di samping itu, dengan galakan ini, diharap dapat membantu anak-anak anggota yang merupakan pewaris kepimpinan masa hadapan untuk terus mengekalkan kecemerlangan pelajaran, seterusnya dapat menimba kemahiran dan pengalaman kerja bagi persediaan menempuh alam pekerjaan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tabung Haji, Mustakim Mohamad; Pengurus Besar Strategi Sumber Manusia Tabung Haji, Zainal Abidin Omar dan Pengurus Besar Pembelajaran dan Pembangunan, Mohd. Norber Kassim. - UTUSAN ONLINE