Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai transformasi dilakukan sama ada dari segi pembangunan infrastruktur, modul pengajaran dan pemerkasaan tenaga pengajar bagi meningkatkan martabat pendidikan prasekolah Tabika KEMAS.

Kata beliau, usaha berterusan kerajaan itu berjaya menobatkan Tabika KEMAS sebagai jenama prasekolah terbaik dalam Anugerah Asia Most Trusted Brand 2017 bersama dua lagi tadika swasta iaitu Smart Rea­ders dan Q-Dees.

“Walaupun hanya perlu membayar yuran yang murah berbanding dengan tadika swasta lain kerana sebahagian besar kos ditanggung kerajaan, Tabika KEMAS menawarkan kualiti pendidikan prasekolah terbaik menerusi transformasi berterusan.

“Saya berharap ia dapat me­ngubah persepsi yang menganggap seolah-olah Tabika KEMAS tiada kualiti kerana bayaran yuran yang rendah dan Tabika KEMAS menjadi pilihan utama ibu bapa,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Tabika KEMAS dan Hari Potensi KEMAS Parlimen Bera di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Sidin; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ari­ffin; Pengarah KEMAS negeri, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi dan Pegawai Daerah, Datuk Razihan Adzharuddin.

Menurut Ismail Sabri, Tabika KEMAS yang ditubuhkan pada 1971 terus berkembang apabila merekodkan sebanyak 11,215 buah di seluruh negara pada masa ini dengan kira-kira 220,000 murid prasekolah.

Kata beliau, dengan matlamat memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan prasekolah terbaik termasuk di kawasan luar bandar, fokus asal kepada kuantiti pada awal penubuhan kini berubah kepada meningkatkan kualiti pendidikan.

Justeru, katanya, pelbagai strategi dan transformasi dilakukan secara berterusan termasuk dalam aspek peningkatan prasarana, kemudahan dan pemerkasaan pengajaran serta pembelajaran.

“Transformasi ini termasuk dalam memberikan nilai tambah kepada silibus pembelajaran sedia ada melalui tiga modul baharu iaitu Penghayatan Pendidikan Islam, Pemupukan Semangat Patriotik dan Modul Keyakinan Diri.

“Program ini menyokong kepada aspirasi kanak-kanak se­perti yang dihasratkan oleh sistem pendidikan negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran, berpengetahuan, beretika dan mempunyai identiti nasional,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam memperkasakan lagi guru-guru di Tabika KEMAS, kementeriannya menyasarkan semua Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS mempunyai kelayakan pe­ringkat diploma menjelang 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS di seluruh negara akan terus diperkasakan menerusi program pemantapan tahap profesionalisme dari semasa ke semasa.

“Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak yang dilaksanakan sejak 2006 menunjukkan hasil apabila seramai 7,365 guru Tabika KEMAS dan Taska Permata KEMAS memiliki diploma manakala seramai 1,000 orang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.