Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu berupaya memberi nilai tambah dalam silibus pembelajaran Tabika Kemas.

“Ada ibu bapa berpendapat tabika Kemas kurang memberikan pengajaran tentang pendidikan Islam, jadi mereka memilih tabika lain.

“Saya mahu ibu bapa yakin dengan kualiti pendidikan tabika Kemas kerana kita telah me­lakukan transformasi termasuk memperkasa modul Penghayatan Pendidikan Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Hari Potensi Tabika Kemas 2017 Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri me­rangkap Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Jawatankuasa Penera­ngan, Pem­bangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah.

Ismail Sabri menambah, pelaksanaan langkah transformasi itu adalah sejajar dengan aspirasi menjadikan Tabika Kemas sebagai pilihan utama ibu bapa.

“Tabika Kemas kini telah di­nobatkan jenama prasekolah terbaik dalam anugerah Asia Most Trusted Brand 2017 bersama dua lagi tadika swasta baru-baru ini.

“Walaupun hanya perlu membayar yuran yang murah berbanding dengan tadika swasta lain kerana sebahagian besar kos ditanggung kerajaan, Tabika Kemas menawarkan kualiti pendidikan prasekolah terbaik menerusi transformasi berterusan,” ujarnya.