Muhammad Syukur, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin dekat sini yang merupakan anggota kadet APM sekolah berkenaan dikurniakan pangkat Lans Koperal atas populariti serta keistimewaannya yang cukup akrab dengan kerbau.

Pengurniaan pangkat itu disempurnakan oleh Ketua Pesurujaya APM, Datuk Roslan Wahab dalam majlis Perjumpaan Datuk Ketua Pesuruhjaya APM Bersama Adik Syukur Kampung Boy (Kadet APM) di SMK Padang Midin hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah APM Terengganu, Left. Kol. (PA) Che Adam A. Rahman; Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Roslan menarik perhatian, APM akan mentauliahkan Muhammad Syukur sebagai ikon APM sempena Perhimpunan APM Peringkat Kebangsaan kali-66 di Seremban, Negeri Sembilan Mac ini.

"Berdasarkan video mengenai adik Syukur ini, kita lihat dia ada potensi untuk kita jadikan sebagai ikon (APM).

"Pada Mac nanti, kita akan adakan perhimpunan APM peringkat kebangsaan kali ke-66, saya akan jemput dia (Muhammad Syukur) datang ke majlis kita di Seremban nanti," katanya. - UTUSAN ONLINE