Pada masa sama, beliau kagum semangat keempat-empat juruterbang berkenaan yang masih tinggi untuk meneruskan penyertaan dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015.

Keempat-empat juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) ialah Arief Hartono, Sri Rajoro, Yadi Indra Yadi dan Hunaidi Syarif Romos.

“Saya memanjatkan kesyukuran kerana kesemua mereka terselamat. Alhamdulillah mereka tetap bersemangat. Semangat mereka tinggi, syukurlah,” katanya kepada pemberita di Hospital Langkawi di sini.

Terdahulu beliau bersama rakan sejawatannya, Ryamizard Ryacudu melawat keempat-empat juruterbang terbabit di hospital berkenaan.

Keempat-empat mereka berada dalam keadaan stabil dengan hanya kecederaan ringan di beberapa bahagian dan diawasi dengan rapi oleh doktor dan pegawai perubatan hospital itu.

Kedua-dua pesawat Jupiter Aerobatic Team itu terhempas kira-kira pukul 2 petang ketika mengadakan latihan.

Pesawat-pesawat itu terhempas di Kampung Darat, Pemandangan Indah, Padang Mat Sirat dan Kampung Gelam, Kedawang.

Sementara itu, menurut kakitangan hospital berkenaan, juruterbang berkenaan perlu menjalani prosedur imbasan bagi memeriksa sebarang kecederaan dalaman yang dialami.

Sementara itu ketika melawat Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LIEC) di Kuah, lokasi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN, Hishammuddin berkata, beliau berpuas hati dengan operasi mencari dan menyelamat keempat-empat juruterbang berkenaan.

“Saya berpuas hati dengan operasi SAR itu serta tempoh masa yang diambil oleh pasukan untuk menyelamatkan juruterbang terbabit,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaan pasukan Indonesia itu di dalam LIMA 2015, beliau berkata, ia bergantung kepada peraturan, tetapi juruterbang Indonesia terbabit masih bersemangat tinggi.