Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, anggota dan pegawai­nya sedia maklum mengenai peraturan tersebut dan beliau tidak ada hak untuk menghalang mereka daripada berkawan.

“Semua dalam SPRM boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, takkan kita (cakap) tidak boleh berkawan, tapi dengan syarat tidak membocorkan maklumat dan bukti yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Memperlengkapkan Diri Untuk Liabiliti Korporat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan supaya SPRM menyiasat kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa mempunyai ‘kawan’ dalam SPRM.

Lokman sebelum itu men­dakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid akan dipanggil ke Ibu pejabat SPRM pada 10 pagi ini dan bekas Timbalan Perdana Menteri ber­kenaan akan ditahan serta didakwa di mah­kamah.

Mengulas lanjut Mohd. Shukri berkata, SPRM tidak akan melakukan siasatan berhubung perkara itu kerana notis panggilan kepada Ahmad Zahid untuk memberi keterangan bukan satu rahsia dan pemimpin itu boleh memberitahu kepada sesiapa sahaja, termasuk keluarga dan sahabatnya.

Jelas beliau, notis panggilan Ahmad Zahid itu merupakan sebuah dokumen awam dan telah diketahui umum.

“Apabila kita menyerahkan notis kepada Ahmad Zahid, ia bukan lagi rahsia dan Ahmad Zahid boleh beritahu isterinya, peguam dan rakan. Ia bukan lagi rahsia,” katanya.

Sementara itu, ditanya bilakah SPRM akan memanggil Tan Sri Musa Aman untuk siasatan, Mohd. Shukri berkata, bekas Ketua Menteri Sabah itu akan dipanggil apabila tiba waktunya.