Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, langkah itu terpaksa dilakukan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

Kata beliau, pihaknya memohon kerjasama pelanggan untuk mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam bagi mengelakkan kelewatan penghantaran bantuan lori tangki air.

"Pihak kami dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan sedang berusaha memberi bantuan dan mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terlibat.

"Bantuan lori-lori tangki digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah kembali beroperasi semula pukul 3.30 pagi hari ini.

Turut beroperasi semula Loji Rawatan Air Rantau Panjang selepas penutupan selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Penutupan itu mengakibatkan hampir 5 juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terjejas bekalan air. - UTUSAN ONLINE