Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, pihak kementerian tidak mahu koperasi terlibat dinyahsenaraikan sebaliknya diberi pembaharuan dalam senarai jawatan kuasa dan keahliannya.

Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan perkara itu berlaku antaranya pulangan yang rendah dan kelemahan pengurusan, sekali gus mengakibatkan kemerosotan ahli.

“Kita mahu semua koperasi keluar daripada pemikiran lama iaitu hanya memberi kemudahan pinjaman kewangan kepada ahli-ahli, sebaliknya menceburi industri pembuatan, infrastruktur dan e-dagang.

“Ini dsebabkan ramai ahli perniagaan yang menjana kekayaan menerusi bidang-bidang itu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Hari Keusahawanan Pelajar 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman di Beseri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail dan Guru Besar SMK Tengku Suleiman, Ayub Ahmad.

Dalam pada itu, Mohd. Hatta memberitahu, pihak kementerian juga merancang untuk menggerakkan semula beberapa buah koperasi yang besar seperti Koperasi Polis yang mempunyai ramai keahlian di seluruh negara.

“Suatu masa dahulu, koperasi ini (Koperasi Polis) terkenal, tetapi kini kita tidak dengar lagi. Ini penting untuk kita gerakkan semula kerana kerajaan memberi keutamaan kepada mereka jika ada saham Bumiputera,” ujarnya.

Mohd. Hatta seterusnya memuji inisiatif SMK Tengku Suleiman yang mewujudkan sebuah koperasi di sekolah tersebut, kerana usaha itu mampu menanam minat para pelajarnya dalam bidang keusahawanan.

“Pihak kementerian memandang serius usaha ini kerana sektor koperasi mempunyai potensi yang besar untuk melahirkan lebih ramai usahawan secara berkelompok,” katanya lagi.

Terdahulu Mohd. Hatta turut menyampaikan anugerah-anugerah kecemerlangan pelajar dalam kokurikulum dan akademik. - UTUSAN ONLINE