Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.45 petang itu disedari adik ipar mangsa yang pulang ke rumah pada pukul 4 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, mangsa dijumpai oleh wanita itu dalam keadaan terbaring dengan kesan jerutan di leher menggunakan tali nilon yang diikat pada tingkap di dalam bilik utama rumah tersebut.

Katanya, ketika kejadian, bapa mertua mangsa berada di bilik belakang rumah berkenaan namun warga emas itu tidak mendengar jeritan menantunya kerana mengalami masalah pendengaran.

“Adik ipar mangsa terkejut apabila menjumpai kakak iparnya dalam keadaan sudah tidak bernyawa. Terdapat kesan jerutan di leher wanita itu di mana mangsa diikat menggunakan tali nilon.

“Dua lelaki disyaki terlibat dalam kejadian samun ini dan mereka yang masuk ke rumah mangsa dalam tempoh 10 minit telah melarikan rantai, subang dan subang hidung milik mangsa yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian sini hari ini.

Yahya memberitahu, identiti kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun telah pun dikenal pasti dan mangsa dipercayai mengenali suspek serta mempunyai pertalian keluarga.

“Kita telah mengenal pasti identiti dan mempunyai maklumat tentang mereka. Operasi akan dilancarkan bagi mengesan mereka yang terlibat dalam jenayah ini,” - UTUSAN ONLINE