Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Uda Sulai berkata, program pembangunan tersebut akan dirangka dengan kerjasama pasukan penyelidik dan pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah bersetuju untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, projek berkenaan yang menepati sasaran Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan diusulkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk mendapatkan sokongan.

“Sekiranya perkara ini berjaya direalisasikan, secara tidak langsung mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk terutamanya mereka yang tinggal berhampiran Sungai Petagas seperti menawarkan perkhidmatan pelancongan, produk kuih muih, restoran dan lain-lain lagi.

“Ini juga selaras hasrat kita memperkasa penduduk di Petagas kerana kawasan bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah amat hampir dengan Kota Kinabalu dan lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Uda, rombongan pensyarah-pensyarah UMS yang merupakan pakar dalam bidang pemuliharaan alam sekitar telah membentang cadangan pembangunan Sungai Petagas kepadanya baru-baru ini iaitu Profesor Dr. Rosazman Hussin, Profesor Madya Dr. Jidon Adrian Janaun, Profesor Madya Dr. Gaim James Lunkapis, Dr. Aseyah Uy Abubakar, Dr Lee Kuok Tiung dan Julius Kulip.

Sementara itu, Uda berkata, sebagai langkah awal, pejabat beliau dan UMS akan bersama-sama mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah pencemaran di Sungai Petagas terlebih dahulu termasuk penanaman pokok putat atau nama saintifiknya barringtonia racemosa di sepanjang sungai bagi menjaga ekosistem.

Katanya, taklimat antara kedua-dua pihak turut membincangkan untuk mencari langkah-langkah mengenal pasti sistem biologi sungai serta pemuliharaan alam sekitar secara menyeluruh.

“Perbincangan itu adalah untuk mencari mekanisme terbaik bagi memulihkan Sungai Petagas dan langkah-langkah yang bakal diambil termasuklah mengkaji tahap pencemaran, biologi, sosial serta lain-lain perkara,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE