Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, menerusi sistem tersebut, sebanyak 2,000 tiang INTRiGUARD akan dipasang di sungai berkenaan dalam tempoh dua tahun yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM8 juta.

Katanya, projek yang melibatkan tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang itu akan dimulakan dengan pemasangan 300 tiang yang memakan masa enam bulan.

“Sistem ini bukan sahaja berperanan bagi mengatasi masalah pencerobohan rizab sungai, malah turut berfungsi dalam memberi tanda amaran banjir selain menentukan arah aliran sungai.

“Ini merupakan projek perintis yang dijalankan di Sungai Bertam yang turut melibatkan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kelestarian Tadahan Sungai Bertam di Padang Awam Tanah Rata di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor; Ketua Pengarah Nahrim, Datuk Ir. Ahmad Jamalluddin Shaaban dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk A. Rahman Hamzah.

Menurut beliau, usaha melestarikan Sungai Bertam penting kerana aliran sungai itu turut mengalir ke Sungai Pahang sekali gus menjadi faktor penentu kualiti air di sungai tersebut.

Katanya, tahap kualiti air di Cameron Highlands kini bertambah baik iaitu berada pada tahap dua selepas pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan menjalankan beberapa inisiatif dan penguatkuasaan.

“Tahap kualiti air di sini pernah turun sampai ke tahap tiga dan kita akan cuba untuk capai ke tahap satu. Bagaimanapun, kualiti keseluruhan sungai di sini berada pada tahap baik.

“Bagi kerajaan negeri, kita menyokong projek yang dijalankan Nahrim ini dan mengharapkan kaedah sama akan digunakan di tempat lain.

“Saya cadangkan agar tempat kedua yang akan menggunakan sistem ini adalah di Janda Baik kerana di sana ada terdapat penanaman halia secara sah dan tidak sah,” ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai operasi membanteras penerokaan tanah haram dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan tanah tinggi itu, beliau berkata, operasi tersebut dijalankan bagi membanteras kegiatan pencerobohan baharu di kawasan berkenaan.

Katanya, perbincangan diadakan bersama kerajaan persekutuan bagi membanteras kegiatan membabitkan sindiket selain memberi kelonggaran kepada penanaman dilakukan keluarga yang bertujuan menjana pendapatan sendiri.

Habis