Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, dalam tempoh yang sama jumlah penerima zakat yang terdiri daripada asnaf dan
golongan fakir miskin meningkat daripada 5,000 kepada 6,400 penerima.

Menurutnya, pertambahan sumbangan zakat korporat itu menunjukkan semakin banyak syarikat yang berdaftar dengan SSM termasuk syarikat yang mengusahakan
perniagaan secara online.

"Bermula tahun 2016, SSM telah mempelbagaikan kaedah pemberian zakat korporat dan memastikan penyampaian zakat ini dilakukan secara menyeluruh kepada semua
golongan asnaf.

"Sumbangan zakat ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan asnaf yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk para pelajar,"
katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pengagihan Zakat Korporat SSM kepada 114 asnaf dan fakir miskin di Madrasah Ehsaniah di Kampung Pulai di sini hari
ini.

Zahrah berkata, untuk program tersebut,  SSM menyumbangkan zakat sebanyak RM58,200 dan daripada jumlah itu sebanyak RM43,200 diagihkan kepada golongan
asnaf dan fakir miskin seramai 144.

Menurutnya, setiap asnaf menerima wang zakat sebanyak RM300 manakala baki RM15,000 diagihkan kepada asnaf fisabillilah melibatkan dua buah surau dan
tiga buah madrasah di kawasan Gopeng yang masing-masing menerima RM3,000.

Katanya, surau yang terlibat ialah Surau Al-Ikhlasiah di Rumah Awam Tiga dan Surau Kopisan manakala madrasah yang menerima sumbangan ialah Madrasah
Ikhsaniah di Taman Kinta, Madrasah Ehsaniah 3 dan Madrasah Al-Khairiah di Kampung Lawan Kuda.

"Melalui sumbangan ini diharapkan ia dapat membantu golongan yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selesa di samping dapat memberi kesedaran kepada organinasi lain untuk mengambil langkah yang sama seperti SSM," katanya. - UTUSAN ONLINE