Baginda sehubungan dengan itu menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar menyemak semula undang-undang sedia ada dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.

“MAIS dan JAIS telah menyembah maklumkan kepada beta cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa me­rasmikan istiadat pembukaan penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di sini, hari ini.

Yang hadir sama mengiringi baginda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Se­langor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor menjelaskan, baginda memandang serius kes perkahwinan bawah umur kerana bimbang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak. - UTUSAN ONLINE