Makam pertama yang akan diziarahi Sultan Nazrin esok ialah Makam Tok Temong yang terletak di Kati, Kuala Kangsar dekat sini.

Sultan Nazrin dijadualkan berangkat dari Istana Iskandariah pada pukul 9 pagi ke lokasi makam sejauh 14 kilometer dan mengambil masa kira-kira 15 minit dengan berkereta.

Setibanya di Makam Tok Temong, Sultan Nazrin akan menyertai doa selamat dan kenduri arwah.

Tok Temong merupakan salah seorang pembesar di negeri ini sebelum wujudnya institusi Raja Perak.

Nama Tok Temong tercatat dalam sejarah kesultanan negeri Perak memandangkan Tok Temong yang membawa persembahan sejenis tangkal azimat, iaitu Mestika Embun ketika pertabalan Sultan Mudzaffar Shah I sebagai Sultan Perak yang pertama pada 1528.

Mestika Embun dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran negeri sehingga ke hari ini dan digunakan dalam setiap istiadat pertabalan diraja Perak.

Selepas selesai menziarahi Makam Tok Temong, Sultan Nazrin akan berangkat pulang ke Istana Kinta dan menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Pada sebelah petang pula, baginda akan berangkat menziarahi Makam Bendahara Raja Alang Iskandar atau dikenali sebagai Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng dekat sini.

Sultan Nazrin dijadualkan berangkat dari Istana Kinta pada pukul 4 petang dan menuju ke lokasi makam sejauh 16 kilometer yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 minit dengan berkereta.

Seperti di Makam Tok Temong, Sultan Nazrin akan menyertai bacaan doa selamat serta kenduri arwah di Makam Marhum Teja.

Marhum Teja ataupun Raja Alang Iskandar merupakan Bendahara Perak semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah I dan Sultan Ja'afar Muazzam Shah.

Ketika menjadi Bendahara Perak di Kuala Teja, baginda me­ngutip cukai di atas segala barang-barang yang masuk dan keluar di Kuala Sungai Kinta.

Sesudah menziarahi Makam Marhum Teja, Sultan Nazrin akan pulang ke Istana Iskandariah dan berangkat ke majlis berzanji serta marhaban di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada sebelah malamnya.