Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata, baginda turut berkenan menyampaikan ucaptama diraja pada majlis tersebut.

Malah, selain Sultan Perak, kata Nordin, persidangan yang telah bertukar menjadi acara tahunan kerajaan negeri sejak 2016 itu turut menampilkan lebih 20 tokoh pembentang terkenal dari dalam dan luar negara.

Antaranya termasuklah Profesor Agama, Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Islam dari Georgetown University, Amerika Syarikat iaitu John Louis Espo­cito dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

“Selain itu, kita juga mempunyai sesi pembentangan bersama Menteri Pendidikan yang baharu, Dr. Maszlee Malik; Pengasas Pe­ngarah Institut Madina Amerika Syarikat, Shaykh Muhammad Yahya Al-Ninowy serta Ismail Serageldin yang juga dikatakan sebagai lelaki paling pintar di Mesir.

“Kita turut menampilkan Timbalan Perdana Menteri Uganda Kedua, Kirunda Kevejinja serta Duta Besar Turki Ke Malaysia, Merve Kavakci yang pernah diusir dari Parlimen kerana bertudung pada tahun 1999 serta anak perempuan kepada Presiden Indonesia, Allahyarham Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur iaitu Yenny Wahid sebagai Pengarah The Wahid Institute,” katanya.

WCIT 2018 yang menyasarkan penyertaaan sehingga 1,200 delegasi, membawakan lima subtema untuk dibincangkan iaitu hal ehwal ekonomi, kesihatan dan alam sekitar; bahasa budaya agama; kemanusiaan, keselamatan dan ke­senian serta kepe­mimpinan pada masa hadapan.

Nordin berkata, pemilihan tema Securing the Future pada WCIT 2018 selari dengan tema-tema WCIT terdahulu.

Katanya, antaranya Future World (2016) dan Global Peace (2017) yang antara lain meletakkan panduan apa yang ingin dicapai oleh dunia Islam pada masa hadapan termasuk keamanan global.

“Oleh itu, kita bukan sahaja mempunyai forum dan pembentangan khas, tetapi juga sesi paralel iaitu pembentangan kertas akademik. Pada tahun ini juga, kita menampilkan persembahan seni membabitkan para penggiat seni tanah air dan antarabangsa.

“Sesi interaksi hubungan antara agama juga diadakan melibatkan para pembentang seperti Presiden Sokka Gakai Internatio­nal - Malaysia Chapter, Michael Kok Fook On dan Duta Vatican ke Malaysia, Joseph Salvador Marino,” katanya.

Tambah Nordin, penyertaan pada tahun ini juga lebih baik apabila beberapa rombongan dari Indonesia dan China turut serta dalam persidangan tersebut.

“Justeru, marilah kita semua tampil bersama-sama menjayakan WCIT 2018. Anggaplah persidangan ini bukan sahaja hak USAS tetapi hak orang Perak dan Malaysia secara amnya,” katanya.