Ketibaan baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak oleh kumpulan koir disusuli bacaan ayat suci al-Quran oleh johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018 dari Sekolah Menengah Izzuddin Shah, Cik Hasnul Taqiuddin Cik Sazali.

Baginda menyaksikan enam peserta berpidato dalam pertandingan akhir untuk peringkat menengah atas yang dijalankan serentak bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Selain pidato, program tahunan bagi menyemai semangat “Kesetian Kepada Raja” itu turut meliputi pertandingan menulis esei, mencipta puisi, melukis karikatur dan melukis poster.

Penganjuran pertandingan secara tahunan yang terbuka kepada semua pelajar di negeri ini turut bertujuan menimbulkan kefahaman secara menyeluruh mengenai peranan institusi diraja di negara ini.

Pertandingan berkenaan merupakan anjuran Pejabat Sultan Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak. - UTUSAN ONLINE