Siti Dewi Ibrahim, 44, dari Segamat berkata, peluang memasak cendawan goreng tepung dengan resepi ciptaan sendiri bersama Sultan Johor yang kemudiannya dijadikan satu menu santapan Baginda disifatkan satu sejarah manis dalam hidupnya.

“Saya dinaklumkan terpilih untuk memasak menu tersebut tiga hari sebelum hari program dan mengambil keputusan membuat resepi tepung khusus untuk program ini.

“Memang tidak dinafikan saya begitu teruja, namun sedikit gementar untuk bersama-sama Baginda memasak menu tersebut dan saya bersyukur semuanya berjalan lancar.

“Bagi saya hari ini hari yang begitu istimewa buat saya yang berpeluang beramah mesra dengan payung negeri yang selama ini saya lihat di dada akhbar dan kaca televisyen sahaja,” katanya kepada Utusan Online di Felda Chemplak di sini hari ini.

Katanya, keramahan Sultan Ibrahim yang turut berseloroh ketika sama-sama mengoreng cendawan bersamanya membuatkan rasa gementar berhadapan secara dekat buat pertama dengan Baginda hilang serta-merta.

Dia bukan sahaja bangga berpeluang bertemu secara dekat dengan Sultan Ibrahim malah bangga menjadi rakyat Johor yang mempunyai sultan yang sanggup mencemar duli menjelajah seluruh pelosok negeri untuk bertemu rakyat.

“Saya harap tradisi kerabat diraja Johor bertemu dan melihat sendiri kehidupan rakyat di seluruh negeri khususnya di kawasan luar bandar melalui program Kembara Mahkota Johor ini dapat diteruskan sampai bila-bila.

“Program ini merupakan peluang terbaik untuk pihak istana melihat kehidupan rakyat tetapi sebagai wadah terbaik rakyat bertemu dan mengenali kerabat istana negeri ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE