Sultan Pahang Keenam dalam era moden itu akan menggalas tugas sebagai ketua negara baharu bagi tempoh lima tahun untuk mengisi kekosongan di­tinggalkan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Pelantikan Sultan Abdullah, 60, mengetuai negara mengulangi sejarah ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Sehingga 6 Januari lalu, tiada siapa menduga baginda yang 44 tahun diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang dan dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang mengisi jawatan ketua negara memandangkan pemerintahan Sultan Muhamad V masih berbaki kira-kira tiga tahun.

Dalam sistem demokrasi raja berlembagaan Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun dan peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V sebagai ketua negara adalah yang pertama dalam sejarah negara ini.

Hakikatnya, pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 adalah ketentuan Allah SWT yang mana pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang Keenam pada 15 Janua­ri lalu membuka ruang kepada baginda untuk memegang jawatan berkenaan.

Pengalaman sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 dan dua kali sebagai Pemangku Raja Pahang, tradisi giliran jawatan Yang di-Pertuan Agong serta ketokohan Sultan Abdullah menjadikan baginda pemerintah paling layak diangkat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sultan Muhammad V.

Pelantikan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seperti dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja yang bermesyua­rat 24 Januari lepas turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila baginda hanya dua minggu berada di singgahsana takhta Kesultanan Melayu Pahang seterusnya memegang jawatan ketua negara.