Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memangku jawatan pen­ting di dalam FGV bagi membantu syarikat itu meningkatkan semula prestasi perniagaan.

Katanya, Perdana Menteri turut meletakkan tiga tanggungjawab utama kepada beliau bagi memulihkan FGV, iaitu memastikan tadbir urus korporat berada pada tahap tertinggi, meneruskan proses siasatan dalaman yang sedang berlangsung dan memperbaiki tahap kewangan syarikat.

“Saya yakin prestasi FGV dapat dipulihkan dan terus berdaya saing di peringkat antarabangsa berdasarkan prospek perniagaan dan aset yang dimiliki.

“Saya lihat beberapa tanggungjawab yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya bersama FGV akan memastikan cita-cita untuk melihat FGV kembali dihormati akan tercapai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sulaiman yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah FGV dilantik sebagai pemangku Pengerusi syarikat, menggantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang meletakkan jawatannya dan dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sulaiman adalah bekas penjawat awam selama lebih 38 tahun bersama beberapa kementerian dan jabatan, termasuk Kementerian Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semasa krisis kewangan Asia 1997/1998 dan terakhir sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Kata Sulaiman, beberapa isu utama yang akan menjadi perhatian beliau untuk memulihkan FGV ialah mengkaji kedudukan perniagaan syarikat selari dengan situasi semasa harga sawit dunia, meningkatkan hasil pulangan perladangan sawit serta menguruskan isu kekurangan tenaga kerja.