Tegas Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, sebuah parti di negara ini yang dinamakannya sebagai ‘parti bunga’ tidak mempunyai roh perjuangan jelas dan parti itu tidak akan dapat berdiri kukuh demi perjuangan membela rakyat.

“Parti politik hendak berjaya kena ada hala tuju yang jelas, roh perjuangan yang membakar, me­ngaum dan roh perjuangan itu ada pada UMNO berbanding dengan sehari dua ini, parti bunga itu apa dia punya hala tuju, apa roh perjuangan mereka? Kalau semata-mata hendak balas dendam bertujuan peribadi dan perjuangan seperti itu percayalah tidak akan bertahan lama.

“Perjuangan kerana nafsu dendam hendak menolak sesuatu ke­ra­na ada kelompok kecil tidak puas hati, tidak boleh tandingi perjua­ngan UMNO yang dibawa sekian lama untuk rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Katil di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO nege­ri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam serta kepemimpinan setempat.

Dalam pada itu, Najib meminta ahli UMNO supaya terus berjuang untuk kepentingan rakyat walaupun sudah tidak mempunyai jawatan dalam politik.

Kata beliau, sikap tersebut perlu ada dalam diri semua ahli de­ngan mengambil iktibar daripada pejuang-pejuang parti terdahulu yang mementingkan rakyat berbanding jawatan.

Beliau mengambil contoh pe­ngorbanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang dianggap sebagai simbol kesetiaan dan ke­taatan sepanjang hayat suatu ketika dahulu dan pernah berkata, ‘jawatan itu tidak penting, apa yang penting ialah parti UMNO’.

Menurut Perdana Menteri, sikap sebegini iaitu meletakkan perjuangan kepada parti lebih besar daripada diri sendiri demi melihat bangsa terus maju dan dihormati dan negara dipandang tinggi di mata dunia perlu dicontohi semua ahli UMNO’.

“Ini sekali gus menunjukkan kekuatan parti adalah bergantung kepada hala tuju dan roh perjua­ngan yang tulen serta ikhlas, berbanding parti pembangkang yang tiada matlamat perjuangan se­perti UMNO.

“Sikap seperti ini yang perlu ada dalam diri setiap daripada kita, lebih-lebih lagi kita hendak berjuang untuk menebus maruah kita di Bukit Katil ini. Kita mesti ambil iktibar daripada pejuang seperti Tun Abdul Ghafar. Allahyarham dilihat sebagai simbol kesetiaan sepanjang hayat, ketaatan yang sejati dan pejuang UMNO yang tulen dan saya masih ingat lagi Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman pernah menyebut Abdul Ghafar kata jawatan tidak penting yang penting adalah parti UMNO,” katanya.

Beliau berkata, sikap kesetiaan Abdul Ghafar itu dilihat turut ada pada diri Mohd. Ali meskipun bekas Ketua Menteri Melaka itu tiada jawatan dalam politik, namun tetap bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.