Menurut pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin, pemberi dana penyelidikan di negara ini lebih bertumpu kepada bidang sains tulen dan bidang lain.

“Kesukarannya adalah untuk mendapatkan dana dan menerbitkan kajian. Bantuan daripada kerajaan dan universiti tidak mencukupi kerana tidak diberi kepada pengkaji yang bersungguh-sungguh dan layak.


“Terlalu sukar dapatkan dana walhal bahan ini perlu untuk papar tamadun bangsa. Dana perlu seimbang (untuk bidang sains tulen dan sains sosial),” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.


Semalam, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyarankan agar institusi dan fakulti pengajian serta persatuan menjalankan kajian serta catatan yang berkaitan sejarah, adat-istiadat dan tamadun Melayu.

Mengulas lanjut, Tokoh Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup itu menegaskan, kajian dalam bidang itu penting bagi melahirkan generasi yang berjiwa lembut, harmoni serta mempunyai rasa cinta akan negara.

Kata beliau, pembangunan bidang tersebut memerlukan sokongan daripada semua pihak, termasuk institusi swasta dan individu yang berkemampuan.

“Adat istiadat dan adat perpatih boleh lahirkan masyarakat harmoni berbilang kaum. Kita juga akan rasa bangga kerana mempunyai adat istiadat yang hebat nilainya,” katanya. - UTUSAN ONLINE