Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ketika ini pihaknya yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan supaya cadangan itu segera dilaksanakan.

Menurutnya, selain menjadi subjek baharu di peringkat sekolah dan universiti, pihaknya turut mencadangkan agar kanak-kanak prasekolah juga diberi pendedahan mengenai ilmu alam sekitar.

“Pencemaran alam sekitar di negara ini banyak berpunca daripada tindakan masyarakat sendiri, jadi kesedaran dalam kalangan mereka perlu di tingkat bermula di peringkat kanak-kanak lagi.

“Sekarang cadangan itu sedang dibincangkan di peringkat pegawai-pegawai dan saya harap ia dapat dibentangkan di peringkat Kabinet pada pertengahan tahun depan sebelum dapat dilaksanakan pada awal tahun 2019,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi ahli panel dalam sesi dialog me­ngenai ASEAN sempena Dialog Pangkor 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Amanjaya, [email protected], di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, pihak­nya juga akan mendapatkan pandangan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengenai subjek dan agenda lain yang perlu dimasukkan dalam sukatan pelajaran berkenaan.

Ditanya sama ada subjek baharu itu akan di wajibkan untuk pelajar, Wan Junaidi berkata, perkara tersebut juga masih di­bincangkan oleh semua pihak.

“Perbincangan secara menyeluruh masih lagi berjalan, namun saya yakin sebagaimana yang telah dimaklumkan, penerimaan daripada Kementerian Pendidikan dan pihak-pihak lain amat positif mengenai cadangan ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu, lebih banyak kawasan di negara ini akan dima­sukkan dalam Amanah Warisan Negara (Awan) bagi mengekal dan melindungi kawasan hijau untuk generasi akan datang.

Menurutnya, antara kawasan baharu itu termasuk Pulau Anak Tikus, Hutan Kilim Geoforest Park dan Drop Stone seluas 1,200 meter di Langkawi, Kedah.

“Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Taman Tugu di Kuala Lumpur diletakan dibawah Awan.

“Namun selepas perbinca­ngan pertama dibuat bersama Khaza­nah Nasional Berhad, saya rasa ada khazanah-khazanah lain patut dimasukkan sekali bersama Taman Tugu,’’ katanya.