Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, menu itu merupakan satu produk galakan promosi yang bersesuaian dengan industri penangkapan tuna yang sedang berkembang di negara ini.

“Stik tuna ini dihasilkan 100 peratus daripada ikan tuna sirip kuning yang lazat dan kaya dengan khasiat Omega 3, Vitamin A, B6 dan B12 yang tinggi serta rendah kalori dan sesuai bagi mereka yang mementingkan kesihatan.

“Ia mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan jantung dan mempunyai anti oksidan tinggi untuk mencegah kanser,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Promosi Stik Tuna dan Pembangunan Usahawan Tuna di Restoran Mr.Noh di Angsana Mall di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi.

Salahuddin berkata, berasaskan nutrien dan khasiat yang ada, stik tuna merupakan satu lagi menu pilihan bagi pengamal diet sihat dan produk itu juga secara tidak langsung menyokong industri huluan dan hiliran berkaitan tuna. UTUSAN ONLINE