Stesen pengecas tersebut yang bernilai RM450,000 menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan boleh digunakan secara percuma untuk pengguna kenderaan elektrik yang menghala ke arah selatan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, kemudahan itu diperkenalkan selaras dengan hasrat kerajaan memulihara alam sekitar dan mengamalkan konsep mesra alam.

“Setakat ini lokasi Restoran Jejantas Ayer Keroh dipilih kerana ia merupakan laluan utama pengguna kenderaan ke selatan dan pihak kami berhasrat menambah lima lagi lokasi stesen pengecas solar dalam tempoh terdekat.

“Dianggarkan pengguna 60,000 buah kenderaan elektrik di seluruh negara bakal menikmati kemudahan ini dan jika sambutan menggalakkan, kita akan berbincang dengan MGTC untuk menambah lagi stesen sebanyak mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran stesen itu di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Syed Ahmad Syed Mustafa.

MGTC merupakan pengendali utama sistem pengecas kenderaan elektrik di negara ini dan ketika ini terdapat sejumlah 240 buah stesen pengecas kenderaan di seluruh negara termasuk di stesen minyak dan pusat beli-belah. - UTUSAN ONLINE