Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, ini susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan akta berkenaan masih boleh diguna pakai sehingga kini.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bagi mencari kata putus berkenaan perkara tersebut.

“Setakat ini memandangkan kerajaan telah pun berhasrat untuk memansuhkan (Akta Hasutan), saya akan bincang dengan Muhyiddin untuk adakan satu keputusan muktamad dalam perkara ini.

“Saya baru dimaklumkan dengan kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin hari ini, setakat ini saya di sini (Pulau Pinang), kita akan ada mesyuarat Kabinet Jumaat ini dan perkara terbabit akan dibawa berbincang dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Muhyiddin hari ini menegaskan Akta Hasutan masih wujud dan boleh diguna pakai sehinggalah ia dibentangkan di Parlimen untuk dimansuhkan.

Bagaimanapun, kenyataan Muhyiddin itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Vui Keong ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat kelmarin yang mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menjalankan penahanan terhadap mana-mana individu di negara ini.

Janji ke-27 kerajaan PH menerusi manifesto Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) ada menggariskan beberapa akta untuk dihapuskan antaranya Akta Hasutan 1948; Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2014. - UTUSAN ONLINE