Rata-rata rakyat Malaysia menzahirkan kekecewaan dan menyerang jawatankuasa berkenaan dengan memuat naik komen yang disusuli dengan #standwithPalestine sebagai sokongan kepada Malaysia.

Seorang pemilik akaun Facebook, Zulkifly Amirudin menyifatkan tindakan IPC adalah tidak wajar dan menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Bukannya kita mendiskriminasikan kamu sebagai manusia, ataupun tidak mempunyai semangat olahan atau paralimpik. Kami tidak membenarkan atlet Israel masuk ke Malaysia kerana tidak ada nama negara Israel.

“Saya harap perkara ini jelas. IPC sepatutnya mempunyai hala tuju sendiri dan tidak mengikuti Israel yang menyalahi undang-undang,” katanya menerusi komen di akaun Facebook IPC di sini hari ini.

Terdahulu IPC membuat keputusan mengejut pada hari ini apabila membatalkan hak Malaysia dan keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga IPC di London selepas mendapati Malaysia gagal membenarkan penyertaan atlet dari negara Israel untuk menyertai kejohanan yang menjadi medan kelayakan buat Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Sementara itu, warganet turut mempersoalkan tindakan jawatankuasa tersebut yang membelakangkan Malaysia sebagai sebuah negara berbanding Israel yang bukannya sebuah negara berdaulat.

“Israel menghalang laut, udara dan tanah di Gaza, mengebom sekolah dan hospital, tiada masalah. Malaysia menghalang Israel menyertai acara tersebut dianggap sebagai diskriminasi,” kata pemilik akaun Facebook, Azizul Qaleef.

Setakat ini, hantaran IPC berhubung keputusan tersebut yang di muat naik dialam akaun Facebooknya mendapat 19,000 komen dan 1,891 perkongsian warganet. - UTUSAN ONLINE