Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh yang singkat itu mungkin menyebabkan peniaga tidak mendapat maklumat menyeluruh mengenai SST menyebabkan barang yang tidak dikenakan cukai seperti barangan bayi turut mengalami kenaikan harga.

“Kerajaan menentukan barang dan perkhidmatan yang dikenakan SST. Lampin pakai buang untuk bayi atau tongkat mahupun kerusi roda, tidak dikenakan cukai maka secara logiknya, barangan tersebut tidak boleh dijual pada harga mahal.

“Jika berlaku kenaikan harga juga terdapat kemungkinan peniaga tiada maklumat mengenai SST walaupun sudah diuar-uarkan di televisyen, akhbar mahupun media sosial. Mereka hanya mahu menjual barang sahaja,” katanya selepas program Sentuhan Kasih Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Dewan Keda Relau, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah peniaga yang menaikkan harga bagi barangan yang tidak dikenakan SST.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahra Abd. Wahab Fenner dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, R. Summugam.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu menyampaikan sumbangan zakat korporat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM139,500 kepada lebih 300 orang kurang berkemampuan dan 20 institusi seperti sekolah, surau, masjid, madrasah dan maahad tahfiz.

Menurut Saifuddin Nasution, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan bagi barang yang dikecualikan SST kerana memindahkan kos sewa, pengangkutan dan buruh kepada pengguna.

“Saya tidak menafikan juga tempoh kita menguar-uarkan GST diganti dengan SST adalah singkat hingga menyebabkan masih ada peniaga tidak mendapat maklumat menyeluruh. Pihaknya bagaimanapun akan menyiasat aduan yang diterima sebelum mengambil tindakan kepada peniaga.

“Sebab itu, saya syor peniaga mahupun pengguna yang baik supaya merujuk laman web Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengetahui senarai barangan yang dikenakan SST atau sebaliknya,” ujarnya.

Ditanya mengenai aduan yang diterima KPDNHEP selepas sehari pelaksanaan SST, Saifuddin Nasution memberitahu, pihaknya akan mendedahkan kemudian kerana rekod tersebut dibuat sebulan sekali. - UTUSAN ONLINE