Program selama tiga hari bermula 5 April lalu disertai oleh Kelab Media Karyawan Kreatif, Karyawan Lensa Terengganu, Penggerak Terengganu, Terengganu Backpackers, TAC Outdoors, Amazing Terengganu dan Geng Supik Hitam.

Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Terengganu dalam kenyataan berkata, program itu bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar selain mengukuhkan jalinan ukhuwah serta membudayakan nilai integriti dalam kalangan peserta.

“Program ini juga direka khusus untuk menjadikan golongan sasar sebagai mata dan telinga SPRM dalam menjaga sumber alam daripada ketirisan, penyelewengan dan kemusnahan alam semula jadi.

“Ini sekali gus dapat menjadikan hutan-hutan di Negeri Terengganu bebas daripada kecurian balak dan segala bentuk penyelewengan,” katanya di sini.

Menurut kenyataan itu, kemuncak acara program ialah perasmian papan tanda SPRM Terengganu dengan mesej ‘Ketirisan Sumber Alam Berpunca Daripada Ketandusan Integriti’ yang disempurnakan oleh Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan.

“Pemasangan papan tanda di dalam Hutan Lipur Lata Belatan ini telah melakar sejarahnya yang tersendiri dalam usaha kami menyebar luas mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat.

“Papan tanda yang diletakkan di laluan utama ke tapak Hutan Lipur Lata Belatan ini akan membantu mempromosikan mesej anti rasuah sekali gus memberi impak yang tinggi kepada pengunjung untuk turut sama menjaga sumber alam,” katanya.

Tambah kenyataan itu, penutupan program itu menyaksikan kejayaan kumpulan pendakian yang diketuai oleh Mohd. Zaki menakluki Gunung Tebu pada ketinggian 3,401 kaki dari paras laut. - UTUSAN ONLINE