Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil berkata, ini seiring arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan semua wakil rakyat PH bersikap telus dan bebas rasuah.

"Usaha memaparkan pengisytiharan harta ini kali pertama kita lakukan untuk tatapan umum," katanya selepas menjadi tetamu program Ala Carte Pagi Bernama Radio untuk memperkenalkan rancangan bual bicara SPRM 360,di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua anggota kabinet dan wakil rakyat PH perlu membuat pengisytiharan itu kepada Pejabat Perdana Menteri yang kemudian akan menghantar salinannya kepada SPRM untuk dimuat naik di portal suruhanjaya.

Mengulas lanjut, Shamsun Baharin berkata, setakat pihaknya belum menerima senarai penuh pengisytiharan berkenaan.

Katanya, SPRM dimaklumkan kesemua anggota pentadbiran dan mereka yang berkenaan harus mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh tiga bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.

"Tempoh itu masih berkuat kuasa dan pada 1 Okt nanti kita akan lihat siapa yang sudah melaksanakan pengisytiharan harta itu," katanya. - BERNAMA