SPRM dalam satu kenyataan menegaskan tuduhan itu melampau dan melulu yang boleh mencemarkan imej dan reputasi agensi tersebut.

Menurutnya, SPRM sentiasa bersikap profesional dalam setiap tindakan khususnya semasa melaksanakan tanggungjawab tanpa kecenderungan politik.

“Setiap penahanan bertujuan menjalankan siasatan berdasarkan asas kukuh dan bukan politik.

“SPRM sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan negara semasa menjalankan siasatan termasuk berkaitan penahanan serta hak seseorang individu di lokap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, SPRM komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak pada mana-mana individu atau organisasi.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak menularkan berita tidak benar menggunakan nama SPRM kerana tindakan tersebut menjejaskan usaha agensi itu membersihkan negara ini daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Terdahulu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail direman dua hari bermula 4 September lalu bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Raja Noor Adila Raja Mahyaldin selepas menerima permohonan daripada SPRM minggu lalu. – UTUSAN ONLINE