Memetik laporan portal Malaysiakini hari ini, perkara itu dimaklumkan oleh sumber yang rapat dengan perkembangan kes berkenaan.

Sumber itu dilaporkan berkata, penyiasat SPRM ketika ini memerlukan masa untuk merakamkan keterangan daripada beberapa individu terlebih dahulu.

“SPRM belum ambil keterangan mereka. Pegawai penyiasat (ketika ini) perlu ambil keterangan daripada orang lain dulu. Lepas raya (baru akan panggil),” kata sumber itu yang merupakan pegawai kanan namun enggan mendedahkan namanya.

Menurut Malaysiakini lagi, difahamkan bahawa Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Pertahanan akan dipanggil terlebih dahulu sebelum Hishammuddin.

Pada awal bulan ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberitahu media bahawa beliau tidak menolak kemungkinan memanggil bekas menteri terbabit untuk membantu siasatan mengenai isu tersebut.

Siasatan berkenaan dilancarkan selepas audit Kementerian Pertahanan mendapati terdapat penglibatan bekas Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dalam urusan pertukaran tanah melibatkan kementerian itu.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika pembentangan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai land swap Kementerian Pertahanan itu di Dewan Negara pada 9 Mei lalu.-UTUSAN ONLINE