Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata kumpulan pendidik boleh bersama SPRM menjayakan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) iaitu satu revolusi sosial untuk mencetus gelombang dan perubahan dalam kalangan masyarakat bagi memerangi jenayah berkenaan khususnya di peringkat awal usia.

“Pendidik perlu memainkan peranan penting mendidik serta menjadi contoh kepada pelajar supaya menolak, sekali gus membenci gejala rasuah yang mampu menjatuhkan imej serta martabat negara.

“SPRM akan terus memperkasakan usaha pencegahan rasuah tetapi usaha itu bukan tanggungjawab SPRM semata-mata malah golongan pendidik perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan masalah golongan muda terlibat rasuah dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Guru yang disambut di seluruh negara hari ini.

Dzulkifli yang mewakili seluruh warga SPRM turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik sempena sambutan pada 16 Mei setiap tahun.- BERNAMA