Setiausaha Agungnya, J. Solomon mendakwa, pada ketika itu (2011), mereka diberitahu peruntukan itu untuk pembinaan tujuh pangsapuri tiga bilik.

“Kami memikirkan projek itu terlampau mahal kerana membabitkan hanya tujuh unit. Apa pun, pangsapuri itu tidak disiapkan untuk manfaat pekerja Zoo Negara sebagaimana yang dijanjikan.

“Selain kontroversi projek pangsapuri ini, rungutan-rungutan terus kedengaran mengenai pemberian kontrak-kontrak melibatkan Zoo Negara dan pihak yang meraihnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Rahmat Ahmat Lana akur bahawa pihaknya tidak mempunyai dana untuk menambah baik kemudahan di zoo itu.

Rosly berkata, masalah kewangan Zoo Negara bertambah teruk apabila geran persekutuan 5 tahun sebanyak RM5 juta tamat pada 2004.

Tambah Solomon, MTUC telah melaporkan perkara itu kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang bertanggungjawab ke atas Zoo Negara namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Laporan sama juga di kemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia. Saya menggesa Persatuan Zologi Malaysia selaku badan pengurusan Zoo Negara untuk tampil memberi pencerahan mengenai kedudukan kewangannya yang terbatas meskipun menerima peruntukan yang agak besar daripada kerajaan sekian lama.

Menurut Solomon lagi, sebarang peruntukan untuk Zoo Negara seharusnya dipertimbangkan hanya setelah pihak berkuasa berpuas hati bahawa tidak ada sebarang penyelewengan kewangan atau salah laku pengurusan di Zoo Negara.

“Pengurusan Zoo Negara harus memperoleh keyakinan awam sebelum ia diberikan apa-apa bantuan kewangan. Ia harus mempamerkan ketelusan ke atas segala peruntukan yang diterimanya dalam tempoh 15 tahun lalu.

“MTUC bukan sahaja bimbang mengenai penjagaan binatang dan kebajikan pekerja Zoo Negara tetapi juga mahu memastikan zoo kebangsaan itu kembali menjadi kebanggaan negara dan bertaraf antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE