Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, antara laporan yang diterima pihaknya adalah membabitkan kesalahan seperti penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa dan agama dalam kempen mereka. 

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan segera bersama Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung isu penggunaan kenderaan jabatan kerajaan semasa berkempen.

"Perbincangan tersebut diadakan bersama MCW selaku pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat berhubung isu itu dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Menurut beliau, pihaknya juga dimaklumkan terdapat laporan polis dibuat calon Barisan Nasional (BN) hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis.

Oleh itu katanya, SPR mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihan raya agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.-UTUSAN ONLINE