Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah menegaskan, semua sistem yang dijalankan suruhanjaya bebas itu seperti sistem pendaftaran pemilih, sistem perjalanan pilihan raya dan sistem persempadanan semula bahagian pilihan raya adalah telus dan adil.

"SPR berpandangan dakwaan menerusi artikel yang disiarkan dalam akhbar The Economist bertajuk How Malaysia's Next Election Will Be Rigged pada 8 Mac lalu yang mendakwa terdapat manipulasi sistem pilihan raya dan persempadanan semula bertujuan membantu kemenangan parti pemerintah, bersifat tohmahan yang tidak berasas sama sekali dan berniat mengelirukan.

"Dalam hal ini, pihak berkenaan hanya melihat kesan persempadanan semula itu dalam konteks kepentingan politik kepartian dan SPR tidak pernah mengambil kira kepentingan politik semata-mata," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tegasnya, penentuan persoalan terhadap penentu kalah atau menang mana-mana pihak atau calon parti bergantung kepada usaha calon untuk memenangi hati rakyat serta menarik sokongan pengundi memilih mereka kerana pengundi mempunyai kuasa mutlak. - UTUSAN ONLINE