Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, jika berlaku pergaduhan, suruhanjaya itu bimbang ia akan menimbulkan kebimbangan kepada pengundi hingga menyebabkan mereka enggan keluar menunaikan tanggung jawab masing-masing kerana merasa tidak selamat.


“SPR telah meminta penyokong dan parti politik supaya jangan melanggar peraturan, tetapi kalau masih berkeras, kita gunakan pendekatan berlembut.


“Kita akan rakam peritiwa itu untuk buat laporan polis selepas ini. Kita tidak mahu paksa mereka masa ini kerana tidak mahu pergaduhan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Nyatoh dekat Rantau di sini sebentar tadi.


Sehingga pukul 1 tengah hari ini, sebanyak 55 peratus daripada 20,793 pengundi berdaftar dalam PRK itu telah keluar mengundi.


Menurutnya, walaupun PRK itu berjalan lancar sehingga kini, namun SPR tidak berpuas hati dengan tahap disiplin parti politik yang terlibat.


Antaranya, kata beliau, barong panas masih didirikan oleh parti politik berhampiran pusat mengundi. 

“Saya hendak minta kepada calon dan parti politik yang terlibat, kesalahan yang terang benderang dilakukan tolong hentikan. Ia memberi imej tidak baik dan kalau menang sekali pun, ia masih boleh dibangkitkan dalam petisyen pilihan raya dan dijadikan isu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE