Peperiksaan yang diadakan di 3,363 pusat peperiksaan itu dijadual berlangsung sehingga 4 Disember ini.

Sebahagian calon mengambil kesempatan mengulang kaji pelajaran sebelum melangkah ke dewan peperiksaan manakala ibu bapa dan guru turut dilihat memberi kata-kata semangat kepada pelajar.

Calon di Pulau Pinang dan Kedah tetap meneruskan peperiksaan meskipun kedua-dua negeri itu dilanda banjir dengan 23,114 calon menduduki SPM di 159 pusat peperiksaan di Pulau Pinang manakala 34,672 calon di Kedah menduduki peperiksaan di 261 pusat peperiksaan.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata kementerian sentiasa memantau secara dekat bencana banjir yang melanda dan sehingga kini ia tidak menjejaskan persediaan bagi peperiksaan itu dijalankan.

Terdapat calon yang terjejas banjir dihantar ke sekolah menggunakan kenderaan yang disediakan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang perseorangan.

Calon yang terlibat bencana itu turut dinasihat segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memudahkan bantuan disalur agar mereka dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

Selain itu, mereka juga dibenarkan menduduki peperiksaan di sekolah lain jika sekolah mereka dinaiki air.

Sementara itu, 45,303 calon menduduki peperiksaan penggal tiga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di 683 pusat peperiksaan bermula hari ini sehingga 9 November dan sehari lagi pada 14 November. – BERNAMA