Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian yang dianggap konsisten ini sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 5.10 walaupun beberapa sasaran belum dicapai.

Seramai 306 calon atau 1.67 peratus daripada kesemua 18,304 calon di negeri ini memperoleh semua A manakala 10,345 orang (56.52 peratus) lulus semua mata pelajaran.

Ketika mengumumkan keputusan SPM 2016 bagi negeri ini di sini hari ini beliau mdmberitahu, bagaimanapun pencapaian bagi semua A+ di negeri ini menurun daripada tujuh orang kepada dua orang.

“Trend penurunan semua A+ serta semua A ini berlaku di setiap negeri dan kita turut terkesan tetapi kita bersyukur kerana dua calon begitu konsisten sehingga mampu memperoleh keputusan cemerlang,”ujarnya.

Calon SPM 2016 juga merupakan pelajar edisi pertama PT3 yang dimulakan pada 2014 dan keputusan kali ini memperlihatkan jurang pencapaian calon bandar mengatasi luar bandar mengikut Gred Purata pada tahap 0.49.

“Kita menyasarkan 500 orang sebenarnya untuk mendapat semua A tetapi kita dapat 306 orang. Jadi, kita akan lakukan bedah siasat selepas ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus dan SM Sains Kuala Terengganu muncul sekolah cemerlang dengan Gred Purata Sekolah (GPS) ma­sing-masing 1.42 dan 2.14.

Bagi pencapaian minimum Gred Purata Daerah, Kuala Nerus mencatat kedudukan teratas dengan Gred Purata (GP) 4.81, diikuti Kuala Terengganu (4.87), Kemaman (5.01), Besut (5.07), Marang (5.10), Dungun (5.11), Hulu Terengganu (5.17) dan Setiu (5.33).

Menurut Shafruddin, pihaknya telah mengenal pasti beberapa mata pelajaran seperti Biologi, Fizik, Kimia, Matematik, Kejuruteraan dan Sejarah yang masih memerlukan tumpuan khusus.

Begitu juga dengan pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang perlu terus diteliti dalam melatih para pelajar berfikir dalam proses pembelajaran agar sasaran dapat dicapai.

Katanya, pihak jabatan akan memanggil semua pegawai pendidikan daerah bagi berbincang mencari jalan terbaik untuk terus memperkasakan bidang pendidikan negeri bersama dengan pihak pentadibr sekolah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah di atas kecemerlangan kesemua 308 calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga pendidik serta ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk masa depan yang lebih baik buat anak negeri.

“Inilah antara harapan tersirat dalam gagasan pentadbiran Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dalam bidang pendidikan,” katanya.