Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, cada­ngan penambahbaikan itu akan dikemukakan pihaknya kepada ibu pejabat JBPM dalam masa terdekat sekali gus diharap akan diberi perhatian sejajar usaha menaiktaraf kemampuan pihaknya berdepan insiden itu.

Menurutnya, cadangan yang akan dikemukakan kelak me­rangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan peralatan kepada Unit Bahan Bahaya (Hazmat), hasil daripada laporan penuh diterima pihaknya selepas proses post mortem berhubung kejadian itu dibuat.

“Post mortem berhubung kejadian (pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim) diadakan semalam dengan dipengerusikan Timbalan Pengarah JBPM Johor, Pauzan Ahmad, merangkap komander operasi selain kita juga sudah dapat laporan penuh.

“Semua maklumat diperlukan sudah kita peroleh, kita juga sudah meng­adakan perbincangan dalaman dan kita akan bentangkan ia kepada ibu pejabat supaya SOP sama dapat diguna pakai di masa akan datang,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Yahaya, beliau yakin aspek yang akan dikemuka untuk diperkukuh serta dipertingkatkan perlu dititikberatkan terutama dengan wujudnya beberapa kawasan industri baharu seperti di Pengerang yang memerlukan pemantauan berterusan.

Yahya berkata, biasanya JBPM mampu menangani kes berkaitan pencemaran bahan kimia daripada punca yang dapat dikesan dan boleh dilihat dengan mata kasar, namun kejadian di Sungai Kim Kim adalah unik serta tidak dapat dikesan kerana tidak dapat dilihat.

“Kali ini, kita (JBPM) diuji dengan peristiwa yang awalnya kita tidak tahu punca dari mana datang­nya (bau) dan sebab apa... sehinggalah penemuan secara fizikal kemudian (sisa kimia di Sungai Kim Kim).

“Saya sifatkan kejadian di Pasir Gudang itu unik kerana tidak pernah berlaku sekali gus pe­ngajarannya bukan sahaja bermanfaat kepada pihak bomba tetapi semua agensi terlibat dengan pengurusan bencana,” katanya.

Beliau ya­kin, penambahbai­kan SOP itu bukan saja dilakukan pihak JBPM tetapi semua agensi keselamatan lain akan turut mengemas kini SOP ma­sing-masing dalam berdepan insiden seumpama itu.