Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya juga te­lah mengarahkan supaya setiap kontena yang membawa bara­ngan hasil import diperiksa.

“Mana-mana yang gagal sebagai contoh ujian Tahap Maksimum Residue (MRL) racun akan dila­rang masuk dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya dalam sidang akhbar program Bicara Tani Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Pengusaha Cili Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan; Ketua Pe­ngarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali, pegawai kanan kementerian dan jabatan.

Pada 22 Ogos lalu, laporan khas Utusan Malaysia menyiarkan Malaysia menjadi pusat lambakan hasil pertanian import terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Dalam pada itu, pihak kementerian turut memaklumkan semua sampel cili import yang diambil di Pelabuhan Klang, Se­langor dua minggu lalu, gagal melepasi ujian MRL.

Sehubungan itu, Salahuddin menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat terbabit kerana ia melibatkan soal keselamatan makanan negara.

Sementara itu, Jamal Harizan memberitahu, menerusi pemantapan SOP berkenaan, ujian MRL dijangka lebih pantas berban­ding sebelum ini.

“Jika didapati gagal, kita bukan sahaja ambil tindakan malah akan memaklumkan semua pihak terlibat termasuk pihak ladang yang mengeluarkan hasil tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kementerian bersedia membantu penanam cili tempatan mengemukakan petisyen antilambakan bagi mengawal kemasukan hasil cili khususnya dari Vietnam.

Katanya, proses itu penting iaitu pemain industri sendiri perlu mengemukakan laporan dan bukti bahawa negara ini benar-benar mengalami lambakan cili import sebelum kerajaan menghantar laporan kepada Pertubuhan Dagangan Sedunia (WTO).

“Petisyen itu perlu diisi sekurang-kurangnya oleh 50 peratus penanam cili di negara ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, sekiranya petisyen itu berjaya maka kerajaan boleh mengenakan duti terhadap hasil cili import yang dibawa masuk ke negara ini.