Mungkin banyak pihak beranggapan perkara itu merupakan rutin biasa, tetapi keberangkatan Sultan Nazrin kali ini melakar sejarah baharu kepada baginda dan juga rak­yat negeri ini.

Keberangkatan Sultan Nazrin itu merupakan kali pertama baginda menunaikan solat jumaat sebagai seorang sultan yang telah ditabalkan.

Sultan Nazrin tiba di Masjid Sultan Azlan Shah kira-kira pukul 1 petang dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Solat Jumaat berkenaan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Hafiz Sulaiman.

Selepas selesai menunaikan solat jumaat, Sultan Nazrin meluangkan masa bersalaman dengan rak­yat jelata yang berbaris di sepanjang jalan keluar masjid.

Kebanyakan jemaah tidak terus meninggalkan masjid, sebaliknya berebut untuk bersalaman dengan Sultan Nazrin.

Keterujaan rakyat pelbagai lapisan itu memberi gambaran perasaan sayangnya mereka kepada Sultan Nazrin sebagai pemerintah negeri ini.

Sultan Nazrin berangkat pulang kira-kira pukul 2.05 petang.