Sebaliknya, Mohamed Azmin berkata, sokongan itu penting supaya Dr. Mahathir dapat meneruskan kepimpinan beliau sehingga rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

Beliau percaya rakyat juga sudah penat dengan pelbagai kekeliruan politik yang sedang berlaku dalam tempoh setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

"Saya tidak berhasrat menyinggung mana-mana individu. Jangan buat tafsiran, kalau lihat kandungan kenyataan itu ia lebih pada ekonomi sebab soal kestablian politik adalah penting untuk menarik pelaburan dalam negara.

"Bagi saya, adalah penting untuk Dr. Mahathir teruskan kepimpinan beliau supaya ada kestabilan politik dan konsistensi sehingga kita buat keputusan dalam pilihan raya yang akan datang," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama kerajaan negeri bagi menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Mohamed Azmin senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Dr. Mahathir harus memimpin negara sehingga ke akhir penggal.

PH sebelum ini mencapai kata sepakat yang mana Dr. Mahathir akan menyerahkan tugas meneraju negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun tiada masa ditetapkan untuk tempoh peralihan itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada sokongan terhadap Dr. Mahathir tersebut bermaksud beliau tidak menyokong Anwar, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi.

"Ada saya sebut dalam itu (kenyataan sokongan terhadap Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal), jangan buat tafsiran," katanya.

Mohamed Azmin menambah, walaupun beliau kerap mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir ia langsung tidak membabitkan soal politik sebaliknya berkisar kepada soal ekonomi semata-mata. - UTUSAN ONLINE