Pengetuanya, Zurina Abdul Hamid berkata, mereka menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 63 pelajar terpilih sempena Sambutan Hari Guru dan juga bermulanya bulan Ramadan esok.

Katanya, sumbangan hasil tajaan orang perseorangan, guru-guru, syarikat swasta dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu dilakukan oleh guru-guru sekolah itu sendiri yang terus ke rumah pelajar berkenaan selepas tamat sesi persekolahan.

"Kita membuat kelainan bersempena menyambut Hari Guru dan Ramadan esok, objektif kami adalah mewujudkan budaya prihatin dan penyayang antara guru dan pelajar," katanya kepada pemberita selepas menghantar sumbangan ke rumah pelajar tingkatan tiga, Sarah Nur Ashikin Ahmad Shuhairi, di Jalan Datuk Kumbar di sini.

Sementara itu, Sarah berkata, beliau tidak terfikir akan menerima sumbangan yang dihantar sendiri ke rumah oleh gurunya.


Bagi beliau sumbangan ini amat bermakna sekali dan dapat meringankan beban bapanya Ahmad Shuhairi Jamil, 48, yang berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan sebagai tukang kebun sekolah.

"Gaji bapa saya hanya tinggal RM850 selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dia membayar bil-bil dan duit sewa rumah serta membeli barangan keperluan serta duit poket saya dan adik ke sekolah, " kata anak sulung dari dua beradik yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sarah berkata sejak kematian ibunya akibat kanser pangkal rahim lima tahun lalu, dia mengambil alih tugas memasak dan mengemas rumah, tanpa lupa mengulang kaji pelajaran.

Selain sumbangan kepada pelajar, pihak sekolah turut menyampaikan sumbangan kepada 11 pekerja swasta dan lapan pengawal keselamatan yang kurang berkemampuan. - BERNAMA