Ketua Jawatankuasa Gimik Pelancaran Bulan Kebangsaan sekolah, Mohd. Noor Taib berkata, bendera gergasi berukuran 36.6 meter panjang dan 7.6 meter lebar itu dicat serta dijahit sendiri oleh 10 pelajar seni reka tanda daripada tingkatan empat dan lima dengan dibantu enam guru.

Katanya, proses menghasilkan Jalur Gemilang mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum direntangkan di bangunan sekolah pada 16 Ogos lalu.

“Kerja-kerja mengecat bendera dilakukan dari pagi sampai malam, dan proses itu kemudiannya menjadi sedikit mencabar ketika menjahit simbol bulan dan bintang yang menuntut ketepatan skala.

“Setiap tahun pihak sekolah akan membuat gimik sempena sambutan, dan tahun lalu kita menghasilkan 700 keping kad imbas (flash kad) manakala tahun ini, hasil perbincangan bersama guru terlibat kita memutuskan untuk membuat bendera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noor, pengisian lain yang diadakan oleh pihak sekolah sempena Bulan Kebangsaan 2018 termasuklah pertandingan esei patriotik, kolaj dan teka silang kata.

SMK Seri Nilam yang diterajui pengetuanya, Zaliha Mat Jusoh menampung kira-kira 1,200 pelajar dengan 124 guru. - UTUSAN ONLINE