Penghantaraan bantuan berjumlah kira-kira RM1,000 itu dilakukan melalui program 'Aid Container For Syria' anjuran oleh Kitchen In Calais, sebuah pergerakan kemanusiaan membantu pelarian Syria yang diusahakan oleh rakyat keluarga Malaysia yang bermasutautin di United Kingdom (UK).

Antara barangan yang berjaya dikumpulkan adalah barang makanan dan keperluan peribadi seperti sabun mandi, ubat gigi, tuala wanita dan lampin pakai buang bayi.

Menurut Guru Besar SK Ujung Batu, Redzuan Ahmad, penglibatan pelajar sekolah itu merupakan sebahagian daripada proses penerapan nilai-nilai murni dalam membangunkan sahsiah pelajar.

"Kita menggalakkan para pelajar untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Tidak semestinya wang ringgit sahaja, malah dalam program ini mereka boleh menyumbang walaupun sebungkus mee segera atau sebuku sabun mandi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada wakil Kitchen In Calais di utara,  Unic Care Foundatian di sekolah tersebut di sini.

Ujar Redzuan, bagi menjayakan program itu, para pelajar turut mengambil inisiatif dengan mengumpulkan sumbangan daripada jiran dan kenalan keluarga mereka.

"Jenis barangan sumbangan ini ditentukan  oleh pihak Kitchen In Calais mengikut keperluan dan keadaan di Syria.

"Kesemua sumbangan ini dijangka berlepas ke Syria pada penghujung Mac depan bagi penghantran kontena kesembilan sejak dilancarkan hampir setahun yang lalu," katanya lagi.

Tambah Redwan, program seperti ini mendapat kerjasama bukan sahaja dari pelajar malah guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang juga turut memainkan peranan yang penting. - UTUSAN ONLINE