Sistem itu akan dibangunkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara sebuah syarikat industri pertahanan tempatan, System Consultancy Services Sdn. Bhd. (SCS); Mimos Bhd. (Mimos); Cyber Security Malaysia dan Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM).

MoU tersebut ditandatangani sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA '19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.

Menjelaskan MoU tersebut, Pengerusi Eksekutif SCS, Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim berkata, ia melibatkan kerjasama antara empat pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing iaitu industri dan institusi pendidikan.

Menurut beliau, pembangunan sistem keselamatan krypto tempatan adalah amat diperlukan ketika ini kerana negara sebelum ini menggunakan peralatan yang dibeli daripada negara luar.

"Justeru, berkemungkinan maklumat-maklumat sulit ketenteraan dan rahsia kerajaan boleh bocor ke tangan pihak luar.

"Kerahsiaan maklumat kerajaan sebagai contohnya, mempunyai beberapa tahap sehingga ada antaranya perlu kekal sulit sehingga puluhan tahun dan tidak boleh bocor, apalagi ke tangan pihak asing," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau seterusnya memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk membekalkan penggunaan sistem keselamatan krypto yang bakal dibangunkan itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kerajaan berkaitan.

Untuk rekod, SCS berpengalaman membangun dan membekalkan sistem komunikasi Kementerian Pertahanan selama 25 tahun. - UTUSAN ONLINE