Memandangkan perniagaan pe­nerbangan melibatkan kos yang tinggi mencecah berbilion ringgit, mungkin sebahagian kepentingan atau pemilikan syarikat itu terbuka untuk diwakafkan oleh sesiapa manakala selebihnya tetap dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nurad­li Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, wakaf boleh disumbangkan untuk pembelian aset seperti bangunan dan kapal terbang sekali gus mengurangkan hutang dan tanggungan MAS.

“Sesiapa sahaja boleh membeli wakaf secara tunai dan tunai yang ada digunakan untuk membeli aset. Cuma mungkin ada cabaran untuk mengumpulkan dana yang besar.

“Barangkali sistem wakaf ini boleh disumbangkan oleh institusi-institusi besar atau negara-negara yang berminat demi mendapatkan sumbangan yang lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Namun jelasnya, apabila menggunakan sistem ekonomi Islam, operasi syarikat itu perlu menjauhi amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Status Malaysia Airlines kebelakangan ini mencetuskan tanda tanya ekoran syarikat itu mengalami kerugian secara berterusan walaupun banyak usaha dilakukan untuk menyelamatkan syarikat tersebut.

Malah kerajaan tidak menolak untuk menerima ‘lamaran’ pihak tempatan dan asing yang dikatakan berminat untuk melabur atau membeli kepen­tingan Malaysia Airlines.

Blog mengenai industri penerbangan, simpleflying.com menamakan sebuah syarikat penerbangan Qatar Airways daripada negara Islam Qatar, merupakan antara pihak yang mungkin berminat mendapatkan Malaysia Airlines bagi membolehkan syarikat dari rantau Arab itu mengukuhkan perniagaan di Asia Pasifik.