SHAMSUDDIN BARDAN

Presiden Persekutuan Pe­kilang-pekilang Malaysia (FMM),­ Datuk Soh Thian Lai berkata, sebelum ini, para majikan perlu membayar dengan kos yang tinggi kerana terpaksa melalui pro­ses yang melibatkan pelbagai peringkat.

Malah, katanya, sistem ini juga dapat mengurangkan amalan birokrasi dan rasuah dalam kalangan ejen dan juga di peringkat kerajaan.

“Ini merupakan satu langkah yang mengikut prosedur dan tepat pada masanya. Namun kami mencadangkan supaya sistem ini diguna pakai untuk satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia berbanding sekarang yang melibatkan banyak kementerian yang menyukarkan para majikan.

“Sistem tunggal daftar pekerja asing ini akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 ahli FMM. Sektor perkilangan merupakan sektor yang menggunakan pekerja asing paling ramai iaitu 650,000 daripada 1.65 juta pekerja asing yang berdaftar di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan yang menetapkan hanya satu sistem tunggal pendaftaran kemasukan pe­kerja asing di negara ini bagi mengelakkan kegiatan monopoli.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bagi memastikan tiada lagi sistem pendaftaran berasingan mengikut negara asal seperti yang diamalkan sebelum ini.

Dr. Mahathir menjelaskan, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh me­ngenai sistem yang terbuka kepada semua ejen pekerja asing.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan perlu mengawal dan memastikan kos pekerja a­sing adalah di bawah RM5,000 seorang bagi mengurangkan beban para majikan.

Sebelum ini, katanya, kos untuk seorang pekerja asing yang perlu dibayar majikan adalah kira-kira RM10,000 jika menerusi ejen.

“Kami berharap langkah yang diperkenalkan kerajaan ini akan memberi manfaat buat semua majikan yang memerlukan.

“Kami juga berharap kerajaan dapat mengkaji semula had tempoh pekerja asing untuk bekerja di negara ini yang sebelum ini adalah selama 10 tahun. Kajian semula ini perlu bagi memastikan pekerja asing yang terlatih dan mahir terus berkhidmat di negara ini mengikut keperluan semasa,” ujarnya.