Sebaliknya, apa yang berlaku setiap kali bulan mulia ini adalah pembaziran yang seakan-akan menjadi kebiasaan apabila trend kutipan sisa pepejal sentiasa mencatatkan peningkatan terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi seperti di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), Datuk Mohd. Zain Hassan, kutipan sisa pepejal di Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tempoh dari 1 Ramadan hingga 25 Ramadan pada tahun ini meningkat sebanyak 511 tan iaitu daripada 45,993 tan tahun lalu kepada 46,504 tan.

Katanya, punca peningkatan tersebut adalah akibat pembaziran makanan termasuk juadah yang tidak terjual di bazar Ramadan.

“Selain itu, bahan bung­kusan seperti beg plastik dan bekas polisterina juga merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan harian.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat dengan peningkatan sekurang-kurangnya 500 tan sampah dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari berbanding kutipan sebanyak 2,500 tan pada hari biasa di Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Mohd. Zain berkata, berlaku pengurangan drastik bagi perkhidmatan di Pahang apabila kutipan sisa pepejal turun melebihi 10,000 tan metrik sepanjang tempoh dari 1 Ramadan hingga 25 Ramadan tahun ini dan tahun lalu.

“Tahun lalu sebanyak 21,256 tan metrik sisa pepejal dikutip di negeri itu dan tahun ini, berlaku pengurangan sebanyak 10,135 tan metrik apabila hanya 11,121 tan metrik dikutip,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zain berkata, lebih 3,000 petugas Alam Flora akan terus menjalankan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam pada hari raya dan kedua.

“Musim perayaan tidak akan mengubah jadual atau perjalanan operasi malah Alam Flora telah pun membuat persediaan awal kerana kami menjangkakan jumlah kutipan sampah akan meningkat terutamanya di kawasan populasi tinggi,” katanya.